Artikel

Kadar Pengangguran Tahun Ini, Dijangka Menurun Kepada 4.4%

Kadar pengangguran tahun ini dijangka bakal menyusut ke paras 4.4% berbanding 4.8% sebelumnya. Pengamatan tersebut susulan pembukaan semula sektor ekonomi Malaysia ketika ini.

Seperti yang umum sedari, pasaran buruh negara sentiasa mengalami ketidaktentuan yang tinggi, namun melalui keyakinan tahap kesejahteraan kesihatan – pembukaan ekonomi akan membantu meningkatkan pembangunan pekerjaan negara.

Pengamatan firma penyelidikan Ambank Research ini bagaimanapun masih dalam pemerhatian – di mana masih terdapat kemungkinan, peningkatan semula kes COVID-19 berpotensi menjejaskan kembali prestasi pekerjaan Malaysia.

Tidak hanya itu, matlamat negara ke arah fasa endemik juga disasarkan berlaku pada akhir Oktober ini. Melalui penerapan norma baharu dan keyakinan vaksinasi – orang awam akan memahami rutin harian mereka untuk mendepani kehidupan bersama COVID-19 kelak.

Walaupun jangkaan ini masih terlalu awal – menerusi petunjuk sedemikian, ia berpotensi mengubah persepsi pemain industri untuk memacu kembali aliran ekonomi negara. Petunjuk ini akan mendorong rakyat negara mempergiatkan lagi usaha pertumbuhan Malaysia.

Setakat Ogos, pengangguran negara masih ditakuk 4.8% bersamaan 748,800 individu.