Meskipun mengalami cabaran pada persekitaran pasaran global, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal memaparkan prestasi pelaburan yang baik pada pengurus porfolio luaran.
Malah, prestasi ini berupaya membei pulangan mengikut jangkaan pelaburan KWSP.
Setakat 31 Disember 2020, KWSP kini mengumumkan sebanyak RM155.18 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran. Jumlah ini, yang telah dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 15.55 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.
Berdasarkan momentum, pertumbuhan saiz dana yang baik KWSP merancang untuk terus memperuntukkan sebahagian daripada dana kepada pengurus portfolio luaran bagi mengoptimumkan pulangan dan meningkatkan prestasi aset.
Langkah ini akan menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan KWSP dan kesejahteraan persaraan ahli, terutamanya ketika keadaan ekonomi yang mencabar ini.
Untuk makluman, bagi tahun kewangan berakhir 2020, KWSP telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.20% dengan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion untuk Simpanan Konvensional, dan 4.90% bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan sebanyak RM4.76 bilion. Secara kumulatif, agihan KWSP pada tahun 2020 adalah berjumlah RM47.64 bilion.