Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri memaklumkan kebenaran perjalanan ke luar negara kini dibenarkan kepada rakyat Malaysia bagi destinasi mana-mana negara. Namun tindakan kemasukan pelancong asing pula masih tidak dibenarkan.
Pihak kerajaan ketika ini, masih meneliti garis panduan yang bertepatan untuk membenarkan kegiatan pelancong tersebut dilakukan. Pelbagai aspek data kesihatan perlu dipantau untuk memastikan risiko pergerakan itu mampu ditangani oleh pihak keselamatan negara.
Walaupun kemasukan warga asing tidak dibenarkan, pembukaan sempadan untuk rakyat negara dilihat berupaya meningkatkan pemulihan sektor pelancongan negara – khususnya sektor pengangkutan udara.
Berdasarkan kriteria, setiap individu perlu melengkapkan vaksinasi, memaparkan sijil digital dan melakukan ujian saringan kendiri sebelum memulakan perjalanan. Manakala setelah pulang, aktiviti kuarantin perlu dijalani untuk memastikan tiada sebarang simptom dimiliki individu.