Artikel

“Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih” – Jalinan Yang Baik Perkasa Pemulihan Ekonomi Malaysia

Pada Pra Pelancaran Keluarga Malaysia hari ini (8 Oktober) Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail kini telah melancarkan pelaksanaan ‘Skuad Keluarga Malaysia‘ yang dianggotai seramai 10,000 petugas yang akan berperanan mengerakkan agihan bantuan di bawah kebajikan negara.

Pada peringkat awal ini – memperlihatkan 5 kementerian selaku pelaksana pertama yang terdiri daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Perdana Menteri Bagi Tugas-Tugas Khas dan Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama.

Selain melancarkan gerakan tersebut – PM Ismail turut menjelaskan idea disebalik pembentukan ‘Keluarga Malaysia‘ adalah merujuk kepada peranan institusi keluarga untuk saling menjaga kerhormatan agama, keselamatan dan maruah rakyat negara. Cetusan idea ini, secara langsung akan menjadikan ia sebagai komponen penting untuk masyarakat meningkatkan kekuatan serta keharmonian buat negara.

Pada pengamatan ekonomi – PM Ismail menegaskan melalui kerjasama, langkah ini akan melonjakkan kembali pertumbuhan negara disamping keyakinan para pelabur dapat dikembalikan semula.

Usaha ini seiring dengan peribahasa yang dituturkan iaitu – Serumpun bak serai, Sesusun bak sirih, jalinan kerjasama semua pihak harus diterapkan tidak sekadar memulihkan ekonomi namun turut memartabatkan kembali segmen sosial, politik dan keharmonian Malaysia.