Artikel

Kebenaran Rentas Negeri – Rakyat Malaysia Perlukan 1.2% Lagi, Untuk Capai Paras 90% Lengkap Vaksinasi

Data setakat 6 Oktober 2021, kini memperlihatkan Malaysia semakin menghampiri sasaran pembukaan rentas negeri kelak – apabila kadar yang lengkap vaksinasi dewasa kini berada di paras 88.8%.

Dapatan data melalui pautan CovidNow itu memperlihatkan Malaysia telah mencapai 88.8% iaitu bersamaan dengan keseluruhan 20.9 juta individu yang telah melengkapkan vaksinasi.

Sementaran penerimaan 1 dos vaksin pula kini mencecah di paras 94.6% iaitu bersamaan dengan keseluruhan 24.2 juta individu.

Manakala bagi pengagihan suntikan untuk remaja negara pula, telah mencapai sekurang-kurangnya 65.6% penerimaan dos pertama vaksin COVID-19.

Berdasarkan momentum ini, dijangka dalam beberapa hari sahaja lagi negara berpotensi menguatkuasakan pelaksanaan perjalanan rentas negeri kepada orang awam – yang telah melengkapkan vaksinasi.

Gambaran awal ini turut dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham pada ciapan Twitter rasminya, persediaan orang awam berhubung pelaksanaan itu kelak diharap dapat mengikut aturan SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa negara. Iaitu sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka, membersihkan kedua tangan, menjaga penjarakan fizikal dan melakukan ujian saringan kendiri secara berkala – khususnya kepada pihak yang akan melakukan perjalanan.