Artikel

Jabatan Imigresen Miliki Simpanan 1.2 Juta Buku Pasport – Bersedia Menampung Permintaan Sehingga Jun 2022

Jabatan Imigresen (JIM) kini telah bersiap sedia, menerima arahan dari kerajaan negara – untuk pembukaan semula sempadan Malaysia dalam masa terdekat kelak.

Pelbagai persediaan telah dilakukan pada tugasan jabatan, meliputi sistem, stok buku pasport serta kerahan tenaga kerja bagi setiap bahagian.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, buat masa ini semua sistem autogate telah diaktifkan semula untuk persediaan lanjut.

Seterusnyan pelaksanaan lain yang turut dipantau oleh pihaknya adalah perancangan rintis bagi perbaharui pasport Malaysia antarabangsa (PMA) secara atas talian. Di mana kemudahan kaunter layan diri telah disediakan untuk orang awam sejak awal bulan ini dan kemudahan itu turut akan dipandu oleh pegawai berkaitan.

JIM memaklumkan ketika ini pihaknya memiliki simpanan 1.2 juta buku pasport, untuk menampung permintaan orang awam sehingga Jun tahun hadapan, 2022.

Persediaan ini seiring dengan gambaran awal yang diberi Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri pada 3 Oktober lalu, yang mana orang awam tidak lagi perlu memohon MyTravelPass setelah mencapai 90% dewasa lengkap vaksinasi.

Adanya kapasiti simpanan dan kemudahan atas talian, ia akan membantu rakyat negara melalui proses mudah pembaharuan sebelum merancang perjalanan. Untuk makluman, permohonan pasport secara atas talian telah meningkat dengan jumlah 69,371 setakat September 2021.

Maka orang awam diminta bersedia dan mematuhi segala aturan SOP yang akan dimaklumkan berdasarkan arahan semasa dalam tempoh terdekat.