Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menjamin kesejahteraan kesihatan orang awam – khususnya melibatkan sasaran Malaysia untuk beralih ke arah fasa endemik COVID-19.
Endemik, merujuk kepada penularan wabak yang sentiasa ada di dalam kawasan ataupun tempat tertentu. Ia merangkumi penularan pada skala besar melibatkan negara – maka menerusi peralihan ke fasa ini akan menjadikan negara lebih bersedia melalui rutin harian, secara norma baharu.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, apabila negara telah memasuki fasa tersebut, pentadbiran negara tidak lagi boleh melaksanakan sekatan jalan raya atau melakukan pemeriksaan ke atas tahap vaksinasi individu – oleh itu, semua orang awam perlu bertanggungjawab akan tugas ini.
Tindakan selanjutnya adalah bergantung kepada masyarakat di Malaysia – untuk mendepani cabaran COVID-19.
Setiap individu perlu mengetahui kesan tindakan yang dilakukan mereka. Antara nasihat yang digarapkan adalah orang awam yang pulang ke kampung atau ke mana-mana negeri perlu melakukan ujian kendiri – merangkumi ujian saringan dan kuarantin kendiri.
Tindakan baik ini tidak hanya membantu petugas barisan hadapan, tetapi turut membantu semua masyarakat Malaysia. Langkah asas ini, wajar dititikberatkan oleh orang awam – sebelum ia membawa padah kepada keselamatan semua pihak.
Meskipun kerajaan masih tidak memaklumkan kebenaran perjalanan rentas negeri – tetapi berdasarkan kadar vaksinasi, Malaysia memerlukan sekitar 1.6% sahaja lagi untuk mencapai 90% vaksinasi lengkap dewasa.
Adanya kesedaran orang awam – sasaran kadar tersebut akan dapat dicapai, dan membuka peluang lebih banyak faedah dinikmati semua pihak.