Artikel

BTS Tidak Sekadar Penghibur – Kini Raih AS$3.6 Juta, Pada Kempen Kesedaran Golongan Muda Global

Ternyata tindakan mantan Presiden Korea Selatan, Kim Dae-Jung pada era lewat 1990-an – memberi tumpuan pada dua sektor negara iaitu sektor budaya dan teknologi maklumat, kini membuahkan hasil yang lumayan untuk ekonomi negara mereka.

Keputusan itu diambil berlandaskan strategi untuk meningkatkan semula pertumbuhan Korea Selatan, setelah melalui fasa krisis 1997. Iaitu krisis ketidaktentuan ekonomi dunia.

Menerusi langkah itu – ia memberi kelebihan kepada sektor budaya Korea Selatan untuk berkarya, khususnya industri kreatif hiburan – K-POP.

Dan ini membawa kepada kemunculan Bangtan Sonyeondan atau lebih dikenali sebagai BTS. Siapa sangka kumpulan ini mampu menyumbang kepada ekonomi Korea Selatan dan membantu kempen dunia.

Atur Kolaborasi Dengan Agensi Kanak-Kanak PBB, UNICEF – Pendedahan Berhubung Penderaan, Keganasan Serta Keyakinan Diri

Hasil kerjasama selama 4 tahun bersama agensi kanak-kanak PBB, Unicef – kini berjaya meletakkan BTS pada paras yang berbeza di kedudukan isu semasa dunia. Di mana kumpulan ini telah berjaya mengumpulkan sekitar AS$3.6 juta serta menghasilkan jutaan ciapan berhubung kempen perangi keganasan, penderaan dan buli dalam kalangan kanak-kanak dunia.

Seiring dengan konsep kempen yang berjudul ‘Love Myself’ telah berjaya mencuri tumpuan pelbagai pihak untuk berkongsikan kebaikan, di samping meningkatkan keyakinan diri golongan muda.

Melalui usahsama ini, ia secara langsung telah membantu penglibatan dan perhatian golongan muda ke atas insiatif PBB yang telah dibentuk selama 76 tahun itu.

Menurut Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore – kaedah penyampaian BTS yang berbeza nyata telah mengamit penglibatan golongan muda dan berjaya membantu meningkatkan kesedaran yang tinggi kepada penduduk dunia.

Berdasarkan perancangan, pengumpulan dana tersebut akan disalurkan ke arah aturan kerja UNICEF dalam menghentikan isu kegananasan di peringkat global.