Seiring dengan keperluan digitalisasi ketika ini – Maybank melihat penerapan aplikasi perbankan perniagaan baharu wajar diketengahkan kepada pemain ekonomi perniagaan negara. Ini membawa kepada pengenalan Maybank2u Biz yang telah dilancarkan pada hari ini (5 Oktober).
Usaha strategik ini dilihat dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memenuhi keperluan perbankan, di samping memiliki jaminan aliran transaksi yang selamat dan kukuh.
Antara ciri baharu yang diperlihatkan adalah ciri Checker kini dapat mengesahkan sehingga 10 transaksi sekaligus manakala tempoh pengesahan juga telah dilanjutkan sehingga 7 hari.
Tidak hanya itu Aplikasi Maybank2u Biz juga dilengkapi dengan ciri invois yang membolehkan pemilik perniagaan mengeluarkan, menghantar dan menjejak invois. Dengan menggunakan templat tersedia, invois boleh disesuaikan mengikut keperluan perniagaan dan dihantar kepada pelanggan melalui pelbagai saluran komunikasi seperti aplikasi e-mel dan permesejan dalam peranti mudah alih mereka. Setelah dikeluarkan, invois ini dapat dijejaki di papan pemuka aplikasi, seterusnya membantu perniagaan memantau kebolehterimaannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias – pengenalan ini tidak hanya memudahkan isu perbankan tetapi ia juga berfungsi sebagai rakan perniagaan yang boleh membantu meringankan beban PKS.
Selain itu, turut menjadikan aturan perniagaan PKS lebih ringkas ketika membuat keputusan strategik berhubung pengurusan operasi mereka.