Kesukaran semasa, mengakibatkan banyak sektor ekonomi mengalami kerugian yang tinggi – termasuklah kehilangan pekerja. Situasi ini di alami oleh sektor perhotelan negara, apabila memperlihatkan sepanjang pandemik COVID-19 Mac lalu, lebih 8,000 petugas telah diberhentikan dan sekitar 55 buah hotel pula telah ditutup sepenuhnya.
Buat pengetahuan umum, angka ini merangkumi perhotelan yang telah berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia dan diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurut Timbalan Menteri MOTAC, Santhara Kumar – selain penutupan menyeluruh, terdapat 86 buah hotel ditutup secara sementara, sejak Mac 2020 lalu.
Menyedari situasi ini, MOTAC telah menerapkan pelbagai inisiatif meliputi pelanjutan diskaun elektrik, pengecualian cukai pelancongan serta agihan subsidi upah.
Malah pada Belanjawan 2021 – peruntukan sekitar RM20 juta telah disalurkan bagi penambahbaikan infrastruk serta promosi untuk ekonomi-pelancongan setempat, seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sarawak.
Langkah ini akan terus dipergiatkan untuk memberi tumpuan kepada pertumbuhan domestik negara, sebelum perjalanan antarabangsa dibenarkan.