Artikel

85% Syarikat Nyata Ketersediaan, Pupuk Kemahiran Digital Kepada Pekerja Negara

Kemahiran digital pada era pekerjaan ini amat diperlukan, khususnya di kala dunia rancak menerapkan penggunaan digitalisasi pada semua segmen.

Tidak hanya negara lain, namun syarikat di Malaysia juga dilihat pada tinjauan Bakat Digital MDEC 2021 mula pertimbangkan kriteria tersebut – untuk membantu operasi syarikat menjadi lebih cekap dan mampan.

Melalui dapatan, 85% syarikat cenderung untuk menyedia dan melengkapkan petugas mereka dengan kemahiran digital dan setakat ini rekod menunjukkan 48% syarikat di Malaysia telah mula menerapkan platform digital pada operasi mereka.

Pemerkasaan ini lebih tinggi berbanding tahun lalu, yang sekadar di paras penerapan 19%.

Adanya ketersediaan syarikat untuk meningkatkan kemahiran pekerja – ini suatu petunjuk yang baik buat pembangunan negara, menerokai peluang yang lebih tinggi pada digitalisasi.

Untuk makluman, perkongsian ini dilakukan pada sidang Malaysia Tech Month di mana Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merangkumkan tinjauan bersama 25 orang Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurusan Kanan syarikat teknologi tempatan, multinasional serta persatuan industri seperti Persatuan ICT Nasional Malaysia (PIKOM), Persatuan Digital Malaysia dan Inisiatif Penyelidikan (SERI).