Artikel

Tatkala MITI Kekal Optimis Akan Pelaburan – Sekitar 9 Syarikat Multinasional Di Malaysia Kini Telah Ditutup

Antara aspek yang mendorong kepada penutupan 9 syarikat multinasional di Malaysia – adalah disebabkan penguncupan ekonomi global disebabkan krisis COVID-19, penurunan permintaan, penyusutan jualan serta kesejahteraan pasaran yang lemah.

Kenyataan Datuk Seri Azmin Ali selaku Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini memaklumkan, penutupan syarikat tersebut adalah rekod negara sepanjang Mac 2020 sehingga Mei 2021, tempoh 14 bulan.

Buat pengetahuan pembaca – Syarikat Multinasional atau Multinational Corporation (MNC) ini adalah entiti yang beroperasi di negara sendiri dan di seluruh dunia. Penetapan operasi induk entiti ditentukan berdasarkan peranan yang diterapkan.

Berdasarkan data, ini 9 syarikat multinasional yang terlibat;

  • Esquel Malaysia Pulau Pinang
  • Esquel Malaysia Kelantan
  • Pen Apparel
  • Bekaert Ipoh
  • HOWCO Metal Management Malaysia
  • Transnorm System
  • Terreal Malaysia
  • Sika Kimia Sdn Bhd
  • SONY EMCS (Malaysia)

Meskipun negara kehilangan operasi 9 syarikat multinasional, namun masih terus optimis akan kekuatan Malaysia – selaku destinasi pelaburan Asia Tenggara.

Bagi data 6 bulan pertama 2021, negara perlihatkan pelaburan sejumlah RM107 bilion dari pembuatan dan perkhidmatan dan daripada jumlah itu, sekitar RM62.5 bilion adalah FDI – pelabuan langsung asing. Amaun ini lebih tinggi berbanding separuh pertama 2020.