Artikel

Malaysia Tidak Berhasrat, Kenakan Cukai ‘Windfall’ – Terhadap Syarikat Perolehi Keuntungan Tinggi Ketika Pandemik

Pentadbiran negara ketika ini, tidak memiliki hasrat untuk mengenakan cukai keuntungan luar biasa atau windfall-tax ke atas mana-mana perniagaan yang peroleh keuntungan tinggi atau berlipat ganda sepanjang pandemik ini.

Windfall tax – difahami sebagai cukai keuntungan luar biasa atau cukai durian runtuh, adalah suatu pengenaan cukai yang boleh dikenakan kerajaan ke atas industri yang menerima keuntungan melebihi purata sasaran. Ia khusus dikenakan kepada industri tertentu yang menerima faedah daripada kesan kejatuhan ekonomi. Antara industri terlibat kebiasaannya merangkumi industri berasaskan perniagaan komoditi.

Menurut laporan Bloomberg, Menteri Kewangan (MoF) Tengku Zafrul memaklumkan cukai tersebut memerlukan levi keuntungan yang melebihi aras tertentu – maka sukar untuk pentadbiran negara menetapkan harga pasaran yang seragam merangkumi pelbagai piawaian spesifikasi.

Kenyataan bertulis ini dikongsikan bagi menjawab persoalan pada sidang parlimen minggu ini, susulan cadangan mengenakan cukai sedemikian ke atas pengeluar sarung tangan getah dan mana-mana perniagaan yang perolehi keuntungan tinggi.

Pada pengamatan Tengku Zafrul, pengenaan cukai keuntungan luar biasa ke atas syarikat kaya-raya ini perlu diteliti dengan baik supaya tidak menimbulkan persepsi negatif kepada pelabur yang akan anggap pentadbiran mengambil kesempatan.

Melalui keuntungan tambahan yang diperolehi syarikat sedemikian ia dilihat berpotensi, merancakkan arena pelaburan dengan mengalakkan para pelabur untuk terus meluaskan empayar mereka.