Artikel

Penerapan Sokongan Robotik, Menjelang 2050 – Dijangka Tingkatkan Prestasi Sektor Pembinaan Negara

Seiring dengan gagasan Revolusi Industri 4.0 Malaysia, sektor pembinaan negara dalam tempoh 29 tahun kelak dijangka akan memperlihatkan penggunaan robotik hampir keseluruhan dalam kapasiti tenaga pembangunan.

Sasaran ini menepati matlamat negara untuk menuju ke arah digitalisasi skala penuh, di samping melindungi sumber semulajadi dan kelestarian negara.

Ramalan Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadhillah Yusof itu, merangkumi kemudahan peralatan jentera berasaskan robotik di sektor pembinaan Malaysia. Menurutnya tindakan itu selaras dengan Dasar Pembinaan Nasional 2030 (NCP 2030), untuk mempercepatkan penerapan teknologi dalam semua proses kerja sebelum, semasa dan setelah bagi sektor pembinaan.

Tidak hanya sasaran menjelang 2050 itu, pihaknya turut menjangkakan pengenalan aplikasi robot di lokasi pembinaan dapat dilakukan pada tahun 2030 kelak. Ini akan membentuk perubahan pada pembangunan infrastruktur, harta tanah dan aset binaan negara.

Melalui sasaran ini, sektor pembinaan Malaysia akan tampil selaku infrastruktur lasak, serta menjadi lebih lestari dalam pembangunan.