Artikel

MoF, BNM – Beri Galakan Orang Awam Untuk Nikmati Kemudahan Transaksi Digital

Kini terdapat pelbagai kemudahan boleh didapati dengan kaedah transaksi secara atas talian. Kementerian Kewangan (MoF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) melihat orang awam perlu memanfaatkan teknologi pada transaksi aliran tunai negara, di samping menjamin penggunaanya lebih selamat.

Namun memahami penggunaan perbankan digital dan dompet digital perlu disokong melalui akses internet serta pemilikan peranti pintar – oleh itu, kemudahan perkhidmatan transaksi tunai secara fizikal masih perlu diperluaskan, ia merangkumi penempatan mesin ATM di kawasan luar bandar.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez pada sidang parlimen semalam (29 September), pemasangan mesin ATM adalah tertakluk kepada pertimbangan industri perbankan. Pelbagai aspek perlu diteliti meliputi kos penyelenggaraan mesin dan keperluan penggunaan mesin tersebut pada kawasan tertentu.

Maka untuk memudahkan orang awam – selain ATM, saluran lain yang disediakan oleh institusi perbankan adalah menyediakan ejen perbankan dan bank mudah alih untuk kemudahan perkhidmatan kewangan awam.

Usaha itu membawa kesepakatan MoF dan BNM dalam memperluaskan inisiatif bank bergerak bersama inisiatif institusi perbankan. Tindakan ini seiring dengan peruntukan RM18 juta oleh kerajaan untuk institusi kewangan domestik bagi penyusunan 30 unit bank bergerak di sekitar 250 daerah di seluruh negara, yang telah dikenalpasti tidak memiliki akses kepada perkhidmatan perbankan asas.

Untuk makluman, tindakan tersebut disasar mula beroperasi pada suku keempat 2021 kelak.