Kesukaran memenuhi keperluan tenaga kerja asing ketika ini, telah mencetuskan halangan kepada kapasiti pengeluaran sektor perladangan negara. Ini kerana sejak tahun lalu, Malaysia alami kekurangan tenaga buruh sekitar 75,000.
Seperti yang sedia maklum, pengambilan buruh asing telah mula dibekukan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac 2020. Hasil sekatan tersebut, tidak membenarkan mana-mana pekerja asing yang kembali ke negara asal untuk pulang bekerja semula di Malaysia.
Kenyataan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menunjukkan krisis ini jelas memberi kesan kepada daya produktiviti perladangan tempatan. Keperluan tenaga kerja itu bertujuan memenuhi sasaran pengeluaran 20 juta tan metrik minyak sawit mentah negara.
Kebergantungan yang terjejas ini dilihat telah memberi impak pada fasa penuaian dan proses memilih hasil. Aspek tersebut memerlukan pekerja yang memiliki kemahiran bersesuaian.
Malah, tidak semua ladang memiliki kemudahan jentera untuk membantu pengusaha ladang dalam proses penuaian. Maka segala gerak kerja perlu dilaksanakan secara manual.