Peruntukan sekitar RM38.5 juta kepada kompleks Seri Perdana, dimaklumkan untuk tujuan membaik-pulih kawasan tersebut.
Kompleks yang berfungsi sebagai kediaman rasmi kerajaan untuk Perdana Menteri Malaysia itu telah mula dibina sejak tahun 1997 dan telah siap sepenuhnya pada 1999. Ini bermakna, sehingga kini ia telah mencecah sehingga usia 22 tahun.
Maka pelbagai penemuan kerosakan telah dikesan oleh pengurusan. Menurut Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) -peruntukan sedemikian adalah merangkumi kos keseluruhan termasuklah kera-kerja penggantian sistem pendawaiaan elektrikal dan kebocoran atap kompleks tersebut.
Malah pihaknya pada kenyataan bertulis memaklumkan – dana ini telah diluluskan sejak 19 Mac lalu dan kerja-kerja pemulihan telah mula dilaksanakan sejak 29 Mac 2021. Berdasarkan jangkaan, pemulihan ini akan siap pada 7 Disember kelak.
Setakat ini 74% proses kemajuan telah dicatatkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).