Artikel

Pemerkasaan Peluang Pekerjaan – Jumlah Pekerja Asing Dalam Tenaga Kerja, Dihadkan Tidak Lebihi 15%

Kadar pengangguran Malaysia di paras 4.8%, menjadikan permintaan peluang pekerjaan negara semakin tinggi. Ia tidak termasuk dengan permintaan dalam kalangan graduan baharu.

Melihat situasi itu, kebolehpasaran pada peluang pekerjaan negara perlu alami perubahan – antaranya dengan mengurangkan penyertaan buruh asing pada tenaga kerja Malaysia.

Berlandaskan penetapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 hari ini, untuk jangka masa panjang jumlah pekerja asing akan dihadkan kepada tidak melebihi 15%.

Ini secara langsung turut membantu sektor ekonomi tertentu, mengurangkan kebergantungan mereka terhadap tenaga asing. Namun, sudah pasti permintaan berdasarkan kategori ekonomi juga perlu diberi perhatian oleh pentadbiran negara.

Tidak semua tenaga kerja tempatan ingin memenuhi sektor ekonomi, berdasarkan kekosongan semata-mata.

Penulis berpendapat, ketika ini peluang pekerjaan yang tinggi diperlihatkan dalam sektor perladangan dan pembuatan – namun penglibatan warga tempatan pada sektor tersebut kekal rendah. Maka selain meningkatkan kadar pendapatan, kerajaan dilihat akan mulai beri tumpuan kepada penggunaan automasi dan mekanisasi pada proses pengeluaran sektor.

Adanya pelaksanaan ini akan membantu negara meningkatkan kecekapan pengeluaran, di samping menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada rakyat negara untuk menerokai bidang pekerjaan tersebut.