Artikel

KWSP Rekod Jumlah Pendapatan Pelaburan RM34.05 Bilion – Bagi Separuh Pertama 2021

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperlihatkan peningkatan pada rekod pendapatan pelaburan, iaitu melonjak 25% (RM6.79 bilion) kepada sekitar RM34.05 bilion.

Angka ini lebih tinggi berbanding catatan tahun lalu, di paras RM27.26 bilion untuk tempoh yang sama berakhir Jun 2021.

Berdasarkan aliran, ekuiti terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan bagi suku kedua 2021 sebanyak RM7.89 bilion, merangkumi 53% jumlah pendapatan pelaburan kasar iaitu RM14.77 bilion.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan prestasi kukuh yang dicapai oleh KWSP pada 1H 2021 ini adalah dipacu oleh pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, tatkala pasaran global mengalami kebangkitan semula.

Meskipun pemulihan ini petunjuk yang baik pada aliran, namun prestasi ekuiti kekal perlahan susulan kenaikan kes COVID-19 di beberapa negara Asia Tenggara dan kejatuhan harga saham kesan daripada tindakan pihak berkuasa China – yang mengetatkan peraturan tertentu pada pasaran sektor.

Untuk mengekalkan keseimbangan KWSP akan terus mempelbagaikan segmen pelaburan entiti merangkumi kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza bagi menyumbang kepada nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.

Setakat akhir Jun 2021, aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM989.14 bilion, yang mana 37% adalah pelaburan di luar negara. Pada Suku Kedua 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.71 bilion, iaitu 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan.