Situasi pandemik COVID-19 ini telah menyebabkan ketidaktentuan ekonomi berlaku di peringkat dunia. Ketirisan aliran ekonomi perlu diperbaiki segera, dengan meningkat sokongan pada sektor kesihatan. Melihat tuntutan itu, ini telah mendorong minat pelabur terhadap firma sains hayat dan robotik.
Industri sedemikian berpotensi membantu dunia – memperkasakan segala usaha pemulihan pandemik.
Kini gagasan itu sedang dilakukan oleh SoftBank Group Corp apabila, mula menerajui pelaburan berjumlah AS$200 juta pada startup robotik yang memacu proses pengujian COVID-19 di bandaraya New York yang dikendalikan oleh Opentrons Labworks – langkah ini meningkatkan nilai syarikat tersebut kepada AS$1.8 bilion.
Opentrons Labworks Inc., ditubuhkan di Brooklyn pada tahun 2013 berperanan membantu menubuhkan Pandemic Response Lab (PRL) di New York untuk mengurangkan penangguhan ujian pandemik. Maka, Robot Opentron bertindak mempercepat proses tersebut dengan menjimatkan tenaga manusia daripada melakukan tugas berulangan, serta membantu segmen pengujian saringan sebanyak 45,000 dalam masa sehari.
Keterampilan Opentrons tidak pada struktur robotiknya sahaja, namun fungsinya telah berjaya mengurangkan tempoh hasil saringan kepada 24 jam dan menjimatkan kos saringan, kurang daripada AS$28 berbanding perubatan manual AS$2,000.
Lebih menarik, pihaknya juga antara yang terawal menemui kes varian pertama Afrika Selatan di New York. Setakat ini, Opentrons telah melaksanakan 2 juta saringan terhadap penduduk New York dan telah menempatkan pusatnya di Washington serta Los Angeles.
Peranan penempatan pusat akan menyelia ujian saringan secara berkumpulan – merangkumi pelajar sekolah dengan kos AS$1 setiap pelajar dan mereka akan perolehi keputusan pada hari berikutnya.
Tidak hanya sekolah, agensi kerajaan, hospital dan perniagaan juga turut miliki tawaran ujian yang sama.
Menurut Pengarah SoftBank Vision Fund 2, Angela Du – infrastruktur makmal Opentrons berupaya meningkatkan inovasi pada sektor kesihatan ketika ini. Malah sokongan Opentrons terhadap lebih 1,000 saintis di 46 buah negara akan membantu merancakan lagi pekembangan entiti pada pertumbuhan global.