Hasil keseluruhan jumlah dana di bawah kerajaan – membabitkan suntikan fiskal dan bukan-fiskal adalah RM530 bilion. Namun saluran dana melibatkan fiskal langsung adalah sekitar RM91.8 bilion sahaja.
Bagi pembaca yang kurang jelas akan makna suntikan fiskal langsung – ia adalah suntikan wang tunai yang disediakan kerajaan.
Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez – pada sidang parlimen hari ini menjawab persoalan kepada ahli parlimen Pontian Ahmad Maslan, berhubung status sebenar suntikan kewangan dari pentadbiran persekutuan.
Menurutnya jumlah itu merangkumi Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), 8 pakej bantuan dan beberapa inisiatif bantuan seperti subsidi gaji, pemberian wang tunai secara one-off, insentif untuk petugas barisan hadapan dan dana untuk pemain sektor lain. Untuk makluman tahun 2020 – kerajaan telah membelanjakan RM38 bilion tunai pada 4 pakej rangsangan dan baki suntikan fiskal tersebut berjumlah RM17.1 bilion di bawa kepada tahun ini, 2021.
Berdasarkan perincian lanjut, setakat September 2021 sejumlah RM60 bilion telah dibelanjakan kerajaan iaitu bersamaan 92% dari keseluruhan 65 bilion siling KWC yang telah diluluskan oleh parlimen – melalui pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi pembiayaan kerajaan bagi penyakit COVID-19 2020.
Bagaimanapun, YB Yamani tidak memperincikan persoalan ahli parlimen Kubang Pasu berhubung penggunaan baki jumlah suntikan fiskal langsung dan agihan dana tersebut pada tahun hadapan, 2022.