Artikel

Matlamat Dana Iklim AS$100 Bilion Negara-Negara Maju, Kini Tersasar – Dijangka Terus Perlahan

Tidak semua janji dapat ditepati – itulah yang sedang berlaku kepada negara-negara maju, akan janji pembiayaan tahunan AS$100 bilion mereka, berhubung isu perubahan iklim, pemanasan global yang dihadapi negara miskin menjelang 2020.

Kesepakatan pembiayaan tahunan ini telah mula dijadikan petunjuk sejak 12 tahun yang lalu, bagaimanapun menurut pengamatan Bloomberg – kutipan dana tidak mencerminkan azam sebagaimana janji yang dicapai oleh negara-neara maju.

Lebih membimbangkan, janji tersebut disasarkan hanya dapat dipenuhi selepas tahun 2025.

Tinjauan Oxfam International menyatakan situasi ini akan memberi kesan kepada kejayaan kesepakatan yang dicapai oleh PBB, malah ia turut memberi impak kepada sasaran dunia untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah celsius di bawah Perjanjian Paris.

Mengikut data OECD – Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi antarabangsa, kadar agihan pada pembiayaan tersebut mula perlahan pada tahun 2019. Pertumbuhan kemasukan dana hanya mencatatkan 2% kepada AS$79.6 bilion, angka ini sedikit lebih tinggi berbanding jumlah 2018.

Manakala, data bagi tahun 2020 pula tidak tersedia susulan kehadiran pandemik COVID-19 ketika itu.

Selain itu, antara isu yang turut membimbangkan Oxfam adalah kaedah pengagihan dana tersebut kepada negara-negara sedang membangun. Berdasarkan pemahaman, lebih dua per tiga pembiayaan akan disalurkan dalam bentuk pinjaman dan tindakan itu dilihat sekadar meningkatkan hutang buat negara-negara berpendapatan sederhana, rendah sahaja.