Artikel

Nilai Discord Kini Cecah AS$15 Bilion

Setelah 5 tahun Discord – aplikasi yang berpangkalan di San Fransisco ini tampil selaku antara penyedia perkhidmatan ruang komunikasi pilihan pengguna, kini syarikat tersebut mula mencapai nilai anggaran entiti di paras AS$15 bilion.

Seperti yang umum, aplikasi Discord bermula dengan permainan video namun mengalami perkembangan perkhidmatan pada ruang perbualan dalam kalangan pengguna muda dan pemain video untuk berinteraksi.

Berdasarkan laporan, pencapaian nilai entiti ini didorong hasil pengumpulan pusingan pembiayaan baharunya diraih pada jumlah AS$500 juta – yang diterajui Dragoneer Investment Group, Baillie Gifford & Co., Coatue Management, Fidelity Management & Research Co., dan Franklin Templeton.

Lonjakan nilai syarikat itu secara tidak langsung menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding nilai anggaran AS$7 bilion yang diberikan oleh para pelabur pada pusingan pembiayaan tahun lalu, 2020.

Menerusi perolehan modal baharu ini – ia akan disalurkan pada pelaburan ciri aplikasi dan perluasan tenaga kerja syarikat.

Untuk makluman, sebelum ini Discord bersama Microsoft telah mengadakan perbincangan peralihan dengan nilai tawaran sehingga AS$12 bilion, bagaimanapun tawaran tersebut telah ditolak oleh Dsicord. Setelah itu, Discord melaksanakan perkongsian bersama Sony untuk membantu khidmat aplikasi pada ekosistem PlayStation.

Sehingga kini Discord memiliki aturan pelabur yang terdiri daripada Benchmark, Greylock Partners, Index Ventures dan Spark Capital – malah diperkatakan akan terus memilih tindakan penyenaraian awam untuk perluasan entiti.