Penglibatan ekonomi digital di Malaysia bukanlah suatu usaha yang asing, ia telah mula diperkenalkan sejak tahun 1996 lagi. Bagaimanapun, pemerkasaan pada peranannya mula diberi perhatian secara aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. Tanpa sedar, perubahan rutin harian penduduk negara itu membawa kesan yang baik kepada pertumbuhan ekonomi digital tempatan – khususnya aliran platform e-dagang.
Berdasarkan momentum itu, Malaysia memperlihatkan Shopee, Lazada, PG Mall dan Zalora tampil antara platform e-dagang pilihan pengguna negara sepanjang tahun 2020 hingga separuh pertama 2021.
Melalui pemantauan iPrice Group bersama data SimilarWeb, keempat-empat platform itu, dilihat kekal konsisten pada kedudukan mereka. Di mana Shopee menyaksikan peningkatan yang luar biasa sebanyak 54% sejak 2020 dengan mengumpulkan purata hampir 18 juta pelawat portal dalam masa 1 tahun.
Berdasarkan tinjauan, kepelbagaian ciri Shopee telah berjaya menarik minat pengguna untuk cuba berinteraksi dalam platform e-dagang. Antaranya setelah pengenalan ciri Beli Sekarang, Bayar Kemudian – SPayLater. Ia nyata membantu pengguna mengatur perbelanjaan secara beransuran.
Seterusnya, Lazada pula memaparkan purata aliran trafik portal sekitar 13.9 juta, lonjakan itu didorong atas aspek inisiatif pemasaran yang diusahakan platform. Ini merangkumi tawaran promosi, kempen jualan dan penyediaan ciri percuma kepada pengguna.
Tinjauan turut mendapati persamaan kedua-dua entiti dalam memperkasakan kehadiran pengguna adalah pada pemilihan duta jenama mereka iaitu Jackie Chan (Shopee) dan Hyun Bin (Lazada) – yang terdiri dalam kalangan individu berpengaruh di peringkat global. Langkah pemilihan kedua duta ini cenderung membantu aliran trafik platform.
Sementara itu, aliran trafik bagi platform lain pada data separuh pertama 2021 adalah PG Mall sekitar 7.4 juta dan Zalora sekitar 1.2 juta diikuti eBay (483,000), GoShop (413,000), Lelong (292,000), Sephora (275,000), Qoo10 (256,000) dan Applecrumby (248,000).
Selain itu, menerusi perbandingan antara negara Asia Tenggara, pengguna e-dagang negara rata-ratanya membelanjakan lebih RM170 (AS$41) bagi setiap pembelian. Lebih menarik, produk yang menunjukkan permintaan tinggi di negara adalah fesyen dan purata perbelanjaan untuk produk fesyen berupaya mencecah hampir RM200 (AS$46).
Purata perbelanjaan sedemikian menjadikan, amaun pembelian pengguna di Malaysia di kedudukan kedua setelah Singapura – yang memiliki purata perbelanjaan lebih RM258 (AS$62).