Artikel

Lebih 30% Taman Tema, Pusat Hiburan Keluarga – Berdepan Status ‘Gulung Tikar’

Di kala taman riadah kini diberi kelonggaran untuk dibuka buat kunjungan orang awam, berbeza pula dengan premis taman tema dan pusat hiburan keluarga yang kekal berdepan risiko kerugian.

Ini kerana operasinya – masih ditutup.

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) menjangkakan, sekiranya situasi ini berterusan lebih 30% pusat dan industri terlibat akan mengalami penutupan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Sektor ini sedang berdepan kerugian sehingga lebih RM5 bilion dalam tempoh 18 bulan. Lebih memeritkan, setakat ini dikesan sekitar 15,000 petugas sektor telah kehilangan pekerjaan susulan penangguhan operasi.

MATFA jelas menzahirkan kekesalan pihak mereka akan situasi semasa. Jika operasi sektor dibenarkan buka, sudah pasti aturan SOP yang ketat akan dilaksanakan dan itu lebih menjamin keselamatan pengguna berbanding pembukaan taman riadah yang terlalu terbuka.

Selain membenarkan operasi, pertimbangan cadangan mengecualikan cukai hiburan 25% juga perlu diteliti semula. Kadar tersebut berupaya menjejaskan pendapatan pengendali taman tema dan akan memberi kesan kepada harga tiket kemasukan pengunjung.

Tindakan itu harus dielak, susulan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.