Artikel

Malaysia Sasar Miliki 28,000 Pakar Perubatan Menjelang Tahun 2030 – Tingkatkan Keperluan Kesihatan Negara

Sektor perubatan negara tidak mengalami pengurangan doktor siswazah, namun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan, kesukaran negara ketika ini adalah keperluan pakar perubatan.

Setakat 2019, pakar perubatan yang tersedia pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah 6,183 petugas dan jumlah keseluruhan termasuk sektor kesihatan swasta pula adalah sekitar 13,000 petugas pakar.

Bagi meningkatkan keperluan kesihatan tersebut – Malaysia menyasarkan menjelang tahun 2030, negara perlu memiliki 28,000 pakar perubatan pada sektor perkhidmatan.

Disebabkan kekurangan tenaga pakar ini – ia telah mencetuskan kelewatan dari aspek perolehan rawatan orang awam dalam khidmat kesihatan negara. Untuk mengatasi dan mencapai sasaran keperluan pakar kelak, Khairy menyatakan kemudahan sistem giliran rawatan kesihatan akan diperbaiki dan pihak KKM memerlukan komitmen Kementerian Kewangan (MOF), supaya dapat melatih petugas doktor sedia ada menjadi pakar, seterusnya dapat memenuhi agenda 10 tahun KKM akan datang.

Faktor ini perlu segera dipertimbangkan, susulan aspek penuaan dan penularan penyakit berisiko akan terus meningkat di Malaysia.