Artikel

Evergrande – Antara Firma Hartanah Gergasi Di China, Kini Berdepan Krisis Hutang Melampau

Dalam tempoh beberapa tahun, pelbagai isu mula menghimpit Evergrande Group – iaitu firma hartanah gergasi di China. Di mana menjadikan ia sebagai syarikat hartanah global yang kini bergelut dengan jumlah hutang tertinggi, memiliki lebih AS$300 bilion liabiliti.

Liabiliti – ialah hutang perniagaan kepada pihak luar dan perlu dilunaskan dalam suatu tempoh yang telah ditetapkan, dan dijadualkan.

Untuk makluman, Evergrande – syarikat yang dibangunkan sejak tahun 1996 oleh Hui Ka Yan kini telah berkembang pesat dan memiliki hutang dengan pelbagai pihak. Lebih menarik pihak sedemikian saling berkaitan, merangkumi institusi kewangan dan pelabur China.

Situasi ini secara jelas, menimbulkan kebimbangan akan kredibiliti Evergrande selaku syarikat gergasi hartanah apabila terjerat dengan jumlah hutang yang tinggi.

Kegawatan Evergrande yang berpangkalan di Shenzhen ini telah berlaku sejak Ogos 2017, apabila pihak syarikat berjanji untuk mengurangkan pemilikan hutang buat pertama kalinya. Keadaan itu berlarutan sehingga Mac 2020, Evergrande memaklumkan pihaknya akan melakukan pengurangan hutang sekitar AS$23.3 bilion dalam tempoh 3 tahun.

Apabila situasi semakin parah, Ogos 2020 – bahagian pengawal-selia China melaksanakan pertemuan bersama 12 pemaju hartanah utama di Beijing dan mula memperkenalkan polisi Tiga Garisan Merah atau lebih dikenali sebagai Three Red Lines.

Pengenalan polisi oleh bank pusat China (PBOC) bersama Kementerian Perumahan China ini bertujuan untuk membendung risiko sektor hartanah China. Di mana sektor ini dilaporkan telah menyumbang sekitar 29% kepada pertumbuhan ekonomi negara. Namun tabiat pinjaman yang buruk dilihat telah merisikokan sektor hartanah, maka ini membawa kepada penyelarasan peraturan pinjaman.

Kegagalan memenuhi metrik polisi itu sekaligus telah menafikan hak akses pinjaman kepada Evergrande, dan mendorong kepada pelepasan 28% unit pengurusan hartanah mereka, dengan menjalankan fasa awal penyenaraian awam pada nilai AS$3 bilion.

Usaha Evergrande mengimbangi semula beban hutangnya, tidak terhenti disitu. Pelbagai penjualan aset dan pengumpulan dana dilakukan sepanjang akhir 2020 sehingga awal 2021 ini.

Mengapa Evergrande gagal? Ini kerana, tindakan melakukan pinjaman pembiayaan bagi perluasan empayar ke bidang-luar hartanah, ia telah membawa kepada penghasilan Guangzhou Evergrande- kelab bola sepak, kenderaan elektrik, insurans hayat dan pelbagai lagi segmen bidang lain.

Perkara itu tidak hanya memberi kesan kepada entiti bahkan, kepada seluruh sistem kewangan China iaitu ekonomi kedua terbesar di dunia.

Rata-rata pengamal ekonomi menjangkakan kerajaan China tidak akan membenarkan prestasi Evergrande mengugat reputasi kewangan China. Namun berdasarkan tempoh pembayaran hutang dijangka berakhir pada 2022, ia dilihat sukar untuk Evergrande mendepani situasi ini meskipun dapat melangsaikan hutang dalam segmen tertentu. Ia kekal sukar.

Setakat 14 September ini, puluhan pelabur telah melakukan protes di cawangan induk firma terbabit, menuntut perincian lanjut berhubung krisis tersebut. Namun gambaran awal – syarikat itu telah mengambil penasihat kewangan telah meletakan, tiada jaminan untuk syarikat melunaskan bebanan hutangtersebut.