Artikel

Paras Hutang Isi Rumah Malaysia Kini Lebihi 93% – Kerajaan Disarankan Teliti Moratorium Tanpa Faedah Terakru

Demi membantu, mengurangkan bebanan hutang isi rumah ketika ini, terdapat beberapa cadangan berhubung pemberian moratorium tanpa faedah terakru kepada rakyat negara telah diusulkan – pada sidang parlimen hari ini (14 September).

Untuk makluman hutang isi rumah Malaysia kini cecah di paras 93.3% daripada KDNK dan sepanjang COVID-19 ini aliran tersebut dilihat meningkat dengan pantas pada kenaikan sebanyak 5.5%.

Bagi pemahaman yang lebih ringkas – faedah terakru membawa kepada penjelasan faedah terkumpul yang belum dilunaskan. Cadangan penelitian tawaran moratorium tanpa faedah terakru ini untuk membantu orang awam mengurangkan kos bebanan, disebabkan bayaran seperti rumah dan kenderaan.

Menurut Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri, pihak pentadbiran memahami situasi yang didepani oleh rakyat negara dan usul yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Datuk Seri Ahmad Maslan. Untuk tindakan lanjutan, cadangan tersebut akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak kerajaan menyatakan akan sedaya upaya membantu orang awam.

Melihat situasi ini, sukar untuk penulis nyatakan sama ada faedah terakru tersebut dapat dilenyapkan begitu sahaja. Ini kerana penangguhan bayaran semula pinjaman-moratorium, sememangnya hadir dengan kos tersendiri.

Apabila penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, kewujudan faedah terakru akan berfungsi selaku pendapatan kepada perbankan untuk menampung tempoh penangguhan pinjaman yang telah dipersetujui.

Maka, sekiranya penawaran pemberian moratorium tanpa faedah terakru dilaksanakan – ini sememangnya akan membantu meringankan bebanan orang awam tetapi ia dilihat bercanggah dengan konsep pinjaman yang telah ditandatangani.