Artikel

SIRIM, Cradle – Sedia Akses Teknologi Dan Rantaian Pengkomersialan Pada Startup Negara

Pertumbuhan syarikat negara khususnya bagi ekosistem startup tempatan wajar untuk dimajukan dengan sokongan dan kolaborasi pelbagai pihak. Kini, melalui aturan kerjasama persefahaman antara SIRIM Berhad dan Cradle Fund – ia berpotensi menawarkan akses yang meluas kepada startup negara.

Akses tersebut meliputi penilaian teknologi, kebolehlaksanaan teknologi-ekonomi, pasaran serta berhubung rantaian perniagaan.

Melalui penawaran sedemikian, ia akan membuka peluang kepada startup untuk meningkatkan kecekapan operasi, penelitian pada kualiti, pemeriksaan dan pensijilan berdasarkan pematuhan pasaran. Langkah itu akan membantu startup mengetahui keperluan pasaran mengikut permintaan semasa.

Seterusnya kewujudan persefahaman ini juga akan memberi kelebihan dari sudut pengkomersialan dan ia antara sasaran positif ekonomi negara dalam memperkasakan penyelesaian teknologi di Malaysia.

Kolaborasi pada sidang maya hari ini (13 September) memperlihatkan SIRIM di wakili Ketua Eksekutif Kumpulan Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad, sementara Cradle Fund diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Rafiza Ghazali dan beberapa panel lain.