Artikel

PETRONAS, ENEOS – Atur Usahasama Rangkaian Hidrogen Bersih Antara Malaysia-Jepun

Syarikat petroleum negara – PETRONAS melalui anak syarikatnya iaitu PETRONAS Gas & New Energy telah mencapai persefahaman bersama ENEOS Corporation iaitu syarikat petroleum milik Jepun – ini membawa kepada lanjutan kerjasama mereka selama 3 dekad.

Persefahaman ini meliputi usahasama bagi pembangunan rangkaian bekalan hidrogen bersih.

Menerusi kerjasama ini, ia akan memperlihatkan kedua pihak melaksanakan kajian teknikal-komersial berkaitan rantaian hidrogen. Ia merangkumi usaha teknologi hidrogen organik cecair iaitu pertukaran hidrogen dari bentuk gas kepada cecair – memudahkan jumlah yang lebih besar dapat dilaksanakan dalam rangkaian bekalan untuk jangka masa panjang.

Selain hidrogen bersih, usahasama ini turut membuka peluang kepada kedua negara meneroka pengeluaran hidrogen berkarbon rendah melalui kemudahan petrokimia PETRONAS dan kelak menghasilkan hidrogen hijau di bawah tenaga boleh diperbaharui.

Adanya kesepakatan ini, ia akan memperkasakan operasi kedua-dua kumpulan dalam penerapan rendah karbon. Malah ia juga selari dengan matlamat ekonomi Malaysia pada pertumbuhan berasaskan hidrogen yang dilihat mampu membawa ekonomi negara ke arah rendah karbon.

Ia menepati sasaran Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.