Artikel

Sehingga Disember, Sekitar 200,000 Pelancong Dijangka Tiba Di Pulau Langkawi – MOTAC

Pembukaan Pulau Langkawi pada 16 September – selaku destinasi perintis kepada pelan gelembung pelancongan telahpun dimaklumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) semalam (9 September).

Melalui agenda itu, MOTAC menyasarkan sekitar 200,000 pelancongan domestik dijangka tiba di Pulau Langkawi, bagi September dan Disember tahun ini.

Anggaran sedemikian akan membawa pemulihan semula kepada operasi perniagaan di pulau tersebut. Melalui jaminan sijil penerapan SOP di bawah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), semua pengunjung tidak perlu khuatir akan aturan garis panduan.

Untuk makluman jaminan SOP ini meliputi semua segmen pelancongan di Langkawi antaranya adalah tempat penginapan, peruncitan, agensi pelancongan, hotel serta resort.

Hasil kerjasama MOTAC, LADA dengan Akademi Pelancongan Langkawi dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ia berpotensi meningkatkan semula pertumbuhan domestik dan menjadi cerminan buat kawasan pelancongan tempatan lain di negara.