Artikel

Semua Kaunter JPJ Dibuka Mulai 6 September – Tanpa Memerlukan Sebarang Temu-Janji

Mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) kini membuka seluruh kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 6 September.

Kemasukan pada kaunter tersebut tidak lagi memerlukan sebarang temu-janji.

Ini bermakna, pada tarikh 6 September JPJ akan menghentika sistem janji temu pada platform atas talian mereka.

Perkara ini telah dimaklumkan Menteri MOT Wee Ka Siong pada hari ini (3 September) untuk tujuan memudahkan orang awam melaksanakan urusan membaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Bagaimanapun, kebenaran kehadiran di kaunter hanya dibenarkan kepada pengguna yang telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka sahaja. Setiap individu perlu memenuhi peraturan SOP dengan memaparkan sijil digital vaksinasi dan status Risiko Rendah mereka pada setiap premis.

Pada masa yang sama, orang awam masih digalakkan untuk terus menggunakan perkhidmatan yang terdapat di mySIKAP – dan beberapa rangkaian seperti di Pos Malaysia, MyEG dan Puspakom. Langkah sedemikian akan mengurangkan kesesakan urusan dan membantu mengelakkan dari berlaku sebarang pendedahan awam.

Selain itu, MOT kini turut melanjutkan tempoh pembaharuan LKM dan LMM sehingga 31 Disember 2021.

Selaras dengan keputusan ini, mana-mana pemilik LKM dan LMM yang telah tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak JPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember 2021.

Pihak yang berkaitan hanya perlu memastikan setiap kenderaan dilindungi insurans yang sah dan perlu paparkan ia ketika pemeriksaan dijalankan.