Artikel

Pengendali GSC Malaysia Beri Gambaran – Sedia Buka Operasi Pawagam Menjelang Oktober, November 2021

Aliran kadar vaksinasi yang semakin baik dan kelonggaran aktiviti ekonomi yang diperlihatkan – ternyata beri harapan kepada semua pengendali perniagaan untuk membuka semula operasi mereka. Ini termasuklah pengendali pawagam Golden Screen Cinemas (GCS) iaitu PPB Group Bhd.

Pada sidang maya laporan kewangan semalam, PPB menyatakan ketersediaan mereka untuk membuka perniagaan tayangan pawagam sekiranya Malaysia mula beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang disasar akan berlaku pada Oktober 2021 atau akhir November kelak.

Bagaimanapun ia bergantung atas kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PPN.

Setakat ini, PPB menyatakan sekitar 98% pekerja GSC akan melengkapkan vaksinasi mereka pada bulan September ini. Menyedari kepentingan vaksinasi pada kelangsungan operasi, ia adalah suatu tindakan yang wajar untuk keselamatan semua pihak dan pengaturan SOP yang ketat perlu disediakan.

Seterusnya, GSC juga akan bertindak melaksanakan pengubahsuaian ke atas perolehan rantaian MBO, setelah industri kembali pulih – seperti yang umum ketahui sebahagian besar rantaian MBO telah beralih kepada GSC sejak 2 Mac lalu.

Berdasarkan laporan kewangan pula – keuntungan bersih turun 44.86% pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 kepada RM183.47 juta, berbanding RM332.73 juta tahun 2020. Seterusnya pendapatan turut meningkat 9% kepada RM2.2 bilion. Meskipun terdapat kenaikan namun teras perniagaan masih lagi lemah disebabkan cabaran halangan COVID-19.

Untuk makluman umum, selain perniagaan tayangan pawagam terdapat beberapa segmen perniagaan lain turut menyumbang kepada pendapatan entiti. Antaranya;

  • Bijirin dan Agri-Perniagaan, usahasama perkhidmatan berkaitan hasil pertanian (76%)
  • Produk Pengguna (14%)
  • Kejuruteraan Alam Sekitar dan Kemudahan Awam (4%)
  • Tayangan dan Pengedaran Filem (2%)
  • Hartanah (2%)
  • Perkhidmatan lain (2%)

PPB terus kekal optimis akan pemulihan operasi entiti setelah vaksinasi menyeluruh dicapai oleh negara. Melalui perkongsian, untuk mengekalkan kesetiaan pengguna dan permintaan yang tinggi – pada suku keempat 2021 GSC akan memperkenalkan pelan GSC Rewards kepada pengguna. Ini akan menawarkan pelbagai faedah kepada pengguna dalam perkhidmatan mereka.

Tidak hanya itu, pelancaran kafe makanan dan minuman Happy Good Companies juga akan dilaksanakan pada cawangan GSC, Southkey Johor Bahru turut akan dilaksanakan kelak. Oleh itu, sebarang makluman lanjut berhubung pembukaan operasi akan didasari berasaskan arahan semasa pentadbiran negara.