Artikel

AS Rekod Pembaziran Vaksin COVID-19 – Sekitar 15.1 Juta Dos Dicatatkan

Di kala masih terdapat halangan pembekalan dos suntikan vaksin kepada negara sedang membangun dan negara berpendapatan rendah. Ternyata Amerika Syarikat (AS) memiliki lebihan permintaan tersebut, di mana sekitar 15.1 juta dos vaksin COVID-19 kini telah dibazirkan sejak 1 Mac lalu.

Menurut laporan NBC News, jumlah itu dijangka lebih tinggi berbanding apa yang diketahui ketika ini, ia kerana rekod tersebut tidak menyeluruh merangkumi data penyedia mengikut daerah dan negeri.

Untuk makluman, jumlah pembaziran dos vaksin ini telah dinyatakan oleh Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC AS) untuk tatapan rekod orang awam.

Angka pembaziran itu turut meliputi 4 rangkaian agihan utama vaksin di AS;

  • Walgreens – hampir 2.6 juta dos pembaziran
  • CVS – sekitar 2.3 juta dos pembaziran
  • Walmart – sekitar 1.6 juta dos pembaziran
  • Rite Aid – sekitar 1.1 juta dos pembaziran

Meskipun tidak nyatakan sebab utama berlaku pembaziran sedemikian, antara faktor yang boleh dilihat adalah aspek pembungkusan dan pembotolan dos vaksin. Ia memerlukan penelitian, di mana setiap vaksin memiliki anggaran agihan dos pembotolan yang berbeza. Malah kadar ketahanan jam pembotolan setiap dos vaksin itu memiliki tempoh yang berbeza.

Sebagai contoh, vaksin Moderna – setelah diasingkan pada suntikan, sekiranya tidak digunakan ia perlu dibuang selepas 12 jam. Sementara Pfizer dan Johnson & Johnson pula perlu dibuang selepas 6 jam.

Bagaimanapun, situasi pembaziran ini kekal menghampakan pemerhati kesihatan. Ini kerana terdapat banyak negara Afrika yang masih ketandusan bekalan dos vaksin, bahkan ada yang masih di bawah 5% populasi mereka diberi vaksinasi.

Ketidaksamarataan agihan ini jelas akan terus memberi kesan pada pertumbuhan ekonomi global, tidak hanya kesihatan. Seharusnya negara maju atau berpendapatan tinggi memiliki pelan dalam pembelian dos vaksin untuk negara mereka.

Sekiranya terdapat lebihan dos vaksin COVID-19, negara berkaitan harus mengetahui tindakan selanjutnya dan tidak melakukan pembaziran yang sia-sia.