Pengguna pembelian atas talian bagi pasaran Asia Tenggara kini memaparkan peningkatan 70 juta individu, sejak awal kehadiran pandemik COVID-19.
Data ini dapat diperlihatkan menerusi laporan tahunan Facebook Inc dan Bain & Co yang menunjukkan pertambahan sedemikian diterajui oleh pasaran Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Tinjauan ini meliputi lebih 16,000 pengguna pada senarai negara terlibat.
Berdasarkan tinjauan, pemerhati menjangkakan pada akhir tahun 2021 – setiap negara akan memiliki penerapan pengguna digital pada 70%, melebihi paras populasi dewasa negara. Ini bermakna, peningkatan pembelian barangan runcit dan dagangan secara atas talian juga akan meningkat dari 5% kepada 9%, pertumbuhan lebih pantas berbanding pasaran India, Brazil dan China.
Tidak hanya itu anggaran perbelanjaan bagi setiap individu pada platform atas talian untuk 2021 juga dijangka meningkat kepada AS$381 (RM1,579.24), berbanding tahun lalu sekadar AS$238 (RM986.81).
Menurut bahagian pasaran baharu Facebook – sekiranya melihat data pada 3 tahun lalu, pertumbuhan Asia Tenggara masih ketinggalan, namun kini kehadiran pandemik telah mengubah laluan dan corak tingkahlaku pengguna dalam memenuhi permintaan pembelian.
Pada pengamatan Facebook, bagi data suku kedua 2021 – sekitar 346 juta individu di Asia Tenggara kini telah mengakses Facebook setiap hari. Angka ini selari dengan sasaran kumpulan yang menjangkakan pengguna digital bagi pasaran Asia Tenggara akan mencapai 350 juta menjelang akhir tahun ini.
Melalui penerapan internet yang lebih meluas dan pemahaman digitalisasi yang lebih tinggi telah mendorong pertumbuhan yang mampan pada Asia Tenggara, dengan 88% urus niaga dilihat dapat dilaksanakan menerusi 2 aspek tersebut.
Selain itu, kehadiran Fintech dengan penguasaan 56% pembiayaan teknologi merangkumi penawaran pinjaman BNPL, dompet digital dan kripto wang turut berjaya membentuk pertumbuhan pasaran di Asia Tenggara.