Artikel

Facebook Beri Petunjuk Lancar Dompet Digital Novi, Pada Tahun Ini – Laporan

Facebook kini dilaporkan bersedia untuk melancarkan dompet digital yang membolehkan para pengguna menyimpan kriptowang.

Berdasarkan laporan The Information, Ketua Unit Kripto Facebook David Marcus memaklumkan kumpulan telah mula memaparkan komitmen ke arah pengenalan dompet digital yang dikenali sebagai Novi pada tahun ini.

Untuk makluman, tahun lalu pengumuman berkenaan Novi ini telah mula dilakukan.

Melalui makluman persediaan ini, David menyatakan pengenalan Novi perlu diselarikan bersama pengenalan Diem iaitu mata wang digital yang disandarkan pada mata wang Dolar ini sedang dibangunkan oleh Facebook. Namun berdasarkan situasi, Novi dapat dilancarkan terlebih dahulu tetapi langkah itu masih lagi diteliti.

Bagi yang kurang memahami, pada tahun 2019 Facebook telah merancang untuk memperkenalkan kriptowang yang dikenali sebagai Libra. Projek itu bagaimanapun menghadapi tentangan dari segi kebimbangan mengenai keselamatan dan kebolehpercayaan.

Maka perubahan penjemanaan semula Libra kepada Diem telah dilaksanakan.

Penjenamaan semula tersebut turut membawa Facebook memindahkan operasi segmen tersebut dari Switzerland ke Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah strategi entiti dan dijangka ia akan dilancarkan pada akhir tahun ini.