Artikel

Eksport Gula Papar Peningkatan – Bantu MSM Perkukuh Pendapatan Sekitar RM554.10 Juta

Peningkatan pada segmen eksport gula bertapis sejak Mac sehingga Jun lalu, telah mengukuhkan prestasi pendapatan pengilang gula tempatan iaitu Malayan Sugar Manufacturing Malaysia atau dikenali sebagai MSM Malaysia.

Pengukuhan itu dapat diperlihatkan apabila pendapatan melonjak 23.5% kepada RM554.10 juta. Sementara rekod untung bersih yang berakhir pada 30 Jun lalu pula mencatatkan RM13.47 juta.

Catatan ini lebih baik berbanding kerugian bersih yang didepani kumpulan sekitar RM21.55 juta pada suku kedua 2020 lalu.

Menurut Syed Faizal, Ketua Pegawai Eksekutif MSM – pihaknya tidak menidakkan cabaran yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 ini. Penutupan sementara sebelum ini telah menyebabkan jumlah hasil pengeluaran produk bagi eksport telah berkurangan.

Ini meliputi permintaan gula cair, pra-campur serta sirap halus.

Namun, risiko tersebut telah mula ditangani setelah jumlah jualan memaparkan pertambahan 60% dan seiring dengan pembukaan pasaran sempadan.

MSM turut menjangkakan prestasi bagi jualan domestik akan memaparkan peningkatan 10% pertumbuhan dan ketika ini entiti telah memiliki jaminan kontrak eksport sebanyak 65% daripada sasaran awal 350,000 tan pemasaran.

Menerusi kelonggaran aktiviti ekonomi ia akan turut merangsang kembali permintaan eksport dan jualan syarikat secara berperingkat.