Artikel

Rekaan Ringgit Malaysia – Papar Nilai Keunikan Dan Kebanggaan Negara

Apabila melihat wang kertas – sudah pasti individu akan meneliti nilai tunainya terlebih dahulu. Namun sempena sambutan merdeka kali ini, penulis ingin mengamit perhatian pembaca bagi melihat nilai rekaan yang terdapat pada wang kertas Ringgit Malaysia (RM).

Pengenalan siri rekaan wang kertas ini – mula dipamerkan pada 22 Disember 2011. Ini membawa erti hampir 10 tahun usia rekaan ini bersama dengan rakyat negara. Siri wang kertas keempat Bank Negara Malaysia (BNM) memliki dinamik rekaan tersendiri, ia seiring dengan konsep ‘Keunikan Malaysia’ memaparkan pelbagai simbolik khazanah dan nilai patriotik negara.

Tuanku Abdul Rahman – YDP Agong Pertama Negara

Sejak legasi pertama siri rekaan wang kertas negara, pasti menampilkan gambaran potret Tuanku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tuanku Muhammad iaitu Yang di-Pertuan Agong Pertama Malaysia.

Untuk makluman, peletakan gambaran YDP Agong Tuanku Abdul Rahman adalah sebagai lambang kepada pimpinan utama negara sejak tahun 1957. Beliau telah ditabalkan pada 31 Ogos 1957 dan telah mangkat pada tarikh 1 April 1960.

Memiliki latarbelakang pendidikan Ijazah Undang-Undang di United Kingdom pada tahun 1930 dan bertugas selaku peguam. Seterusnya pada 1933, setelah kemangkatan Tuanku Muhammad, baginda ditabalkan selaku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Melalui pertabalan itu, menjadikan baginda sebagai satu-satunya Raja Melayu negara yang memiliki kelayakan selaku peguam bela dan peguam cara.

Sehingga kini, potret baginda masih diterapkan pada penggunaan wang kertas negara. Ia adalah suatu penghormatan dan kebanggaan Malaysia pada peranannya.

Songket

Sekiranya anda dapat teliti, pada setiap latarbelakang wang kertas RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100 – terdapatnya peletakan rekaan songket pada asas wang kertas tersebut.

Perkataan songket ini berasal daripada gabungan songsong dan teket yang membawa erti Tenun dan Sulam, dalam bahasa Palembang. Kemudian istilah itu disebutkan sebagai Sungkit atau Sangkut dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Makna songket itu sendiri dihasilkan daripada cara pembuatannya seperti mengait, menyunggit dan mencungkil – ini menjadikan ia diklasifikasikan sebagai kain tenunan, yang menggunakan peralatan tradisional.

Melalui keunikan corak yang rumit beserta penggunaan benang material emas, perak – menjadikan kain tenunan ini antara khazanah negara yang sering diterapkan pada pemakaian adat peradaban sejarah negara.

Kehalusan seni corak songket turut membawa erti kemegahan hasil kreatif negara dalam menggambarkan pangkat serta kedudukan individu tertentu, pada masa dahulu. Kini hasil seni tersebut mula dimartabatkan dan penerapan corakknya tidak hanya tertumpu kepada pemakaian bahkan pelbagai barangan kini boleh menggunakan fabrik warisan negara itu.

Peletakan corak songket pada wang kertas negara, tidak hanya mengiktiraf seni warisan tersebut – namun turut membawa simbolik yang tinggi pada nilai antarabangsa.

Wau Bulan – Sukan Tradisional

Wang kertas RM1, membawa konsep rekaan paparan sukan tradisional Malaysia. Berdasarkan rekaan, permainan Wau Bulan dipilih mewakili simbolik tersebut.

Untuk makluman, permainan layang-layang atau lebih dikenali ‘Wau’ pada penduduk Pantai Timur – memiliki keunikan sejarahnya tersendiri. Terdapat pengamatan mengatakan penggunaan permainan tradisional ini mula terbina sejak awal sejarah Srivijaya dan Kerajaan Pattani. Malah ada juga mengaitkan ia dengan lambang kemegahan penaklukan di ruang udara.

Namun Wau memiliki pelbagai jenis dan kategori – antaranya Wau Puyuh, Wau Jala Budi, Wau Kekek tetapi rekaan RM1 Malaysia memilih penggunaan Wau Bulan, iaitu layang-layang yang memiliki saiz lebih besar berbanding layang-layang lain. Rekaan hadapannya seakan bulan sabit dan separa bulat pada bahagian belakang. Apabila diterbangkan – wau ini seolah-olah menyerupai bulan.

Lebih menarik, pemilihan istilah Wau itu turut digambarkan, dicetuskan oleh penghasilan bunyi apabila busur layang-layang tersebut dinaikkan pada ruang udara dan menghasilkan irama Wau. Meskipun telah wujudnya pelbagai permainan moden. Namun pembuatan rekaan Wau Bulan masih kekal pada tradisi penduduk negara – khususnya kini ia dijadikan sebagai permainan temasya tahunan buat penduduk di Pantai Timur.

Enggang Badak, Kenyalang – Hidupan Liar

Enggang Badak atau nama saintifiknya Buceros Rhinoceros adalah antara spesis burung yang dijumpai di Sarawak pada tahun 1855 oleh Alfred Russel Wallace.

Penemuan hidupan liar ini menjadikan ia dikenali sebagai Kenyalang, burung rasmi negeri Sarawak. Penerapan rekaan Enggang Badak ini pada wang kertas RM5 membawa cerminan ia suatu khazanah yang sangat bernilai pada negara.

Umum ketahui hutan di Malaysia adalah beriklimkan khatulistiwa dan memiliki hutan hujan tebal. Menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, penjagaan setiap hidupan liar amat penting buat negara dalam memastikan ekosistem hidupan ini kekal terjamin.

Selain Kenyalang di Sarawak, terdapat beberapa lagi hidupan liar di serata negeri di Malaysia. Antaranya Heldang, Kijang, Pelanduk, Harimau Malaya, Badak Sumatera, Orang Utan dan beberapa spesis lain.

Rafflesia Azlanii – Hidupan Flora Negara

Rekaan wang kertas RM10 secara khusunya meletakkan gambaran bunga Rafflesia, sementara Bunga Raya pula kita dapat perlihat rekaannya pada setiap wang kertas negara.

Tumbuhan berbunga ini membawa simbolik bunga warisan negara dan antara hidupan flora yang terdapat di Malaysia. Bagi Rafflesia atau dikenali sebagai Bunga Pakma, adalah tumbuhan berbunga yang pernah ditemui terbesar di dunia, iaitu di bawah kategori Rafflesia Arnold.

Bagaimanapun, corak Rafflesia yang terdapat pada rekaan RM10 negara itu mewakili kategori bunga Pakma, Rafflesia Azlanii. Mengapa ia dinamakan sedemikian?

Rafflesia Azlanii adalah antara spesis baharu yang ditemui penyelidik negara Abdul Latiff dan Mathew Wong. Ia ditemui pada tahun 2003, di Hutan Lindung Temenggor-Perak. Melalui penemuan tersebut kedua-dua individu memutuskan untuk menamakan Rafflesia ini atas nama Sultan Azlan Shah, Perak. Ia adalah tindakan penghormatan dan gambaran Sultan Azlan selaku pelindung Heritage Expedition.

Maka, penghasilan itu menjadikan ia sebagai Rafflesia Azlanii.

Penyu Karah, Penyu Belimbing – Hidupan Laut

Seterusnya bagi nilai wang kertas RM20 pula menampilkan ikon Penyu Karah dan Penyu Belimbing selaku cerminan hidupan laut di Malaysia.

Penyu Karah atau nama saintifiknya Eretmochelys Imbricata turut dikenali sebgai penyu sisik. Manakala Penyu Belimbing atau nama saintifiknya Demochelys Coriacea, ia dikenali sebagai penyu berkulit leather atau mudah difahami memiliki bentuk cangkerang seakan-akan buah belimbing.

Kedua-dua penyu ini diklasifikasikan sebagai spesis hidupan laut yang terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN). Ini berikutan amalan memancing manusia telah menjadi antara faktor ancaman dan penggunaan cangkerangnya dilaporkan turut dijadikan bahan utama penghasilan barangan perhiasan.

Untuk makluman, penyu belimbing adalah spesis yang memilih kawasan pantai gelap, sunyi dan berpasir bagi sesi bertelur. Antara destinasi yang menjadi pilihan adalah di Rantau Abang, Terengganu. Manakala destinasi pilihan lain pula antaranya di persisiran pantai Amerika Selatan.

Menerusi pemaparan ikon kedua-dua penyu – ia tidak sekadar mengetengahkan simbolik hidupan laut Malaysia bahkan turut memberi pendedahan kesedaran di peringkat dunia akan keperluan hidupan ini.

Kelapa Sawit – Kekayaan Hasil Bumi

Umum ketahui, Kelapa Sawit adalah antara segmen tanaman utama pertanian di Malaysia. Penampilan kelapa sawit pada rekaan RM50 nyata menjadikan ia antara kekayaan hasil bumi negara yang berjaya membentuk pasaran tersendiri di peringkat global.

Permulaan industri tanaman kelapa sawit secara komersial dapat diperlihat bermula tahun 1917, di mana ketika itu Estet Tannamaran, Kuala Selangor dipilih selaku lokasi pengkomersialan. Setelah memahami konsep bentuk buah tanaman, perluasan tanaman kacukan mula dilaksanakan dan seterusnya tindakan Felda pada awal 1960-an membuka tanah rancangan secara meluas, memberi peluang penerokaan baharu pada hasil tanaman ini.

Sehingga kini industri tanaman sawit telah menyumbang kepada pertumbuhan negara. Setakat data tahun lalu, subsektor sawit telah menyumbang 56.8% kepada RM48.31 bilion untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Adanya pengukuhan sedemikian memberi peluang yang baik pada hasil negara. Melalui paparan kelapa sawit pada mata wang negara – ia suatu kebanggaan pada pemain industri dalam penghasilan sumber kekayaan negara di pasaran.

Lembah Gunung Api, Gunung Kinabalu – Keindahan Alam Semulajadi

Seterusnya bagi pemaparan keindahan alam semulajadi, Lembah Gunung Api dan Gunung Kinabalu menjadi ikonik kepada khazanah alam Malaysia.

Gunung Api, ia adalah sebuah gunung batu kapur yang terletak di Taman Negara Mulu, Sarawak. Memiliki ketinggian 1,750 meter ia menghimpunkan pelbagai hidupan alam semulajadi yang tinggi. Bagaimanapun gunung ini begitu terkenal akan pemilikan 8 spesis pokok periuk kera yang terdapat pada kapasitinya.

Sementara itu, Gunung Kinabalu yang terletak di Kundasang Ranau, Sabah ini pula memiliki ketinggian mencecah 4,095 meter dari aras laut dan ia adalah gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Pemilihan nama Kinabalu itu diikaitkan dengan gabungan frasa bahasa Kadazandusun iaity Aki Nabalu membawa erti nenek moyang.

Secara langsung, selain menitikberatkan kepentingan semula jadi pada paparan nilai RM100, simbol ini turut membawa erti budaya dan semangat berzaman negara kekal utuh.