Setakat Julai lalu, hampir 50,000 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang telah kehilangan pekerjaan telah menerima manfaat tunai.
Agihan tersebut meliputi sejumlah RM200 juta melalui SIP.
Edaran dana itu bagaimanapun tertakluk kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan berikutan penutupan operasi syarikat sepenuhnya, pengecilan operasi dan melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS).
Namun, bagi pencarum yang diberhentikan atas faktor masalah displin dan masalah individu – tidak termasuk dalam agihan manfaat SIP.
Selain itu, Perkeso turut menggunakan pendekatan ‘Search and Serve’ iaitu ‘Cari dan Berkhidmat’ kepada waris pencarum yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19. Melalui kaedah itu, pegawai berkhidmat akan terus meneliti kelayakan waris dan memproseskan data pada sistem untuk agihan dana faedah.
Untuk makluman, setakat ini Perkeso telah mengagihkan sejumlah RM11.11 juta kepada penerima sumbangan yang layak – kepada waris pencarum yang kematian disebabkan COVID-19.
Jumlah itu merangkumi hampir 11,100 penerima yang termasuk kategori Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
Malah penyediaan sejumlah RM110 juta juga turut akan dilaksanakan Perkeso bagi pembayaran jangka masa panajng kepada waris pencarum dan seterusnya sehingga anak-anak mereka mencapai usia 21 tahun.
Melalui dana tersebut ini akan membantu dan memudahkan urusan perbelanjaan serta mengurangkan krisis kewangan yang dihadapi keluarga pencarum.