Prestasi sesebuah negara tidak hanya diukur berdasarkan faktor ekonomi semata-mata, namun ia turut meliputi aspek sosial dan persekitaran ibu kotanya.
Berdasarkan Indeks Bandar Selamat 2021 atau Safe Cities Index 2021 oleh Economist Intellience Unit (EIU), nyata kedudukan ibu kota negara Kuala Lumpur kini memaparkan peningkatan pada kedudukan senarai indeks tersebut.
Kini, Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-32 berbanding tahun 2019 pada kedudukan ke-35.
Pada tinjauan tersebut, terdapat 5 segmen penting yang menjadi petunjuk kepada kedudukan keselamatan sesebuah bandar negara. Ia merangkumi keselamatan digital, keselamatan kesihatan, keselamatan infrastruktur, keselamatan peribadi dan keselamatan persekitaran.
Daripada 5 segmen tersebut, ternyata segmen persekitaran menjadikan Kuala Lumpur antara 10 kedudukan teratas yang memiliki keselamatan persekitaran baik. Sementara segmen keselamatan peribadi pula di kedudukan ke-33 dan keselamatan digital di kedudukan ke-35. Berhubung segmen digital – EIU melihat peningkatan taraf digital dari aspek penerapan internet yang lebih baik dan teknologi ketika ini mendorong lebih banyak pembangunan bandar pintar. Namun tindakan sedemikian nyata telah meniris keselamatan digital bandar sesebuah negara. Seharusnya pembangunan bandar pintar perlu meningkatkan daya keselamatan seiring dengan kepentingan privasi orang awam – dan tidak memberi ancaman kepada penduduknya.
Manakala, pada segmen kesihatan (38) dan infrastruktur pula bandar Kuala Lumpur masih lagi ketinggalan. Ini membawa erti peningkatan sistem kesihatan bandar perlu diperkemaskan, sementara pembangunan infrastruktur pula masih menjadi persoalan disebabkan pandemik COVID-19. Situasi ini bergantung kepada pelan pemulihan negara dan keutamaan pembangunan.
Secara keseluruhannya Kuala Lumpur mencatatkan mata 66.6 pada laporan. Melalui senarai indeks pula, Copenhagen mendahului senarai dengan 82.4 mata daripada 100, diikuti oleh Toronto di 82.2 mata, Singapura di 80.7 mata, Sydney di 80.1 mata dan Tokyo 80.0 mata. Untuk makluman terdapat 60 bandar menjadi tumpuan pada petunjuk indeks ini.