Artikel

Penerapan Sijil Pematuhan SOP, Tingkatkan Persediaan Segmen Pelancongan Langkawi – LADA

Pembukaan beberapa sektor ekonomi sejak pertengahan Ogos lalu, telah meningkat semula harapan pemain sektor pelancongan untuk membuka kembali operasi mereka. Kini, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mulai memperkenalkan sijil pematuhan SOP – di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi 2021-2022.

Tindakan itu bertujuan untuk memberi jaminan persediaan kepada aktiviti pelancongan ekonomi, setelah perjalanan domestik dibuka semula.

Apa yang menarik – antara kriteria yang ditetapkan pada sijil ini adalah memastikan semua petugas di sektor pelancongan perlu melengkapkan pengambilan vaksinasi mereka. Ini suatu cerminan yang baik buat pembukaan operasi pelancongan kepada umum.

Menurut Nasaruddin Abdul Muttalib, Ketua Pegawai Eksekutif LADA langkah sedemikian akan menampilkan Langkawi sebagai destinasi perintis pelancongan. Ini akan membantu kawasan pelancongan lain turut menerapkan tindakan yang sama disamping menjana kembali pendapatan operasi.

Berdasarkan laporan, terdapat 6 segmen pensijilan pelancongan disediakan merangkumi tempat penginapan, peruncitan, agensi pelancongan, hotel serta resort.

Untuk makluman, pendekatan perolehan sijil sukarela ini telah mengambil usahasama dengan Akademi Pelancongan Langkawi bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa pihak yang lain. Adanya usaha ini – ia mampu meningkatkan semula pertumbuhan domestik Malaysia.