Artikel

Setakat 1 Jun – Sekitar 4,670 Kompaun Dikeluarkan Terhadap Individu Tidak Patuh Arahan PKP

Meskipun negara telah melalui fasa pandemik COVID-19 hampir 2 tahun ini, masih terdapat individu yang kekal mengingkari arahan garis panduan yang ditetapkan negara – di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PKP).

Risiko kepada tindakan itu, kini membawa kepada pengeluaran 4,670 kompaun dari Polis Diraja Malaysia (PDRM). Data setakat 1 Jun itu, secara jelas memperlihatkan wujudnya kelompok yang enggan memahami penerapan penguatkuasaan.

Tidak hanya itu, menurut laporan semalam (23 Ogos) Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam Bukit Aman – Datuk Zainal Abidin turut menyatakan sekitar 114,474 permohonan perjalanan rentas negeri telah ditolak setakat 1 Jun lalu.

Penolakan itu disebabkan kegagalan individu menunjukkan bukti dokumen yang sahih berasaskan kriteria kebenaran yang digariskan. Ini bermakna terdapat pihak menyalahgunakan kebenaran itu dan bukan tergolong dalam kriteria pasangan jarak jauh.

Untuk makluman, perjalanan rentas negeri ketika ini hanya dibenarkan kepada ibu bapa yang ingin bertemu dengan anak mereka yang berusia bawah 18 tahun dan pasangan jarak jauh sahaja. Pihak yang terlibat ini perlulah melengkapkan vaksinasi mereka sebelum memulakan perjalanan.

Seharusnya orang awam terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Mengingkari arahan pihak berkuasa untuk kepentingan sendiri tidak sekadar merugikan individu, namun turut memberi kesan kepada pihak yang lain.