Artikel

Hanya 15% Belia Malaysia Terlibat Dalam Bidang Pertanian, MAFI Seru Penyertaan Pada Agropreneur Muda

Malaysia memiliki potensi dalam memperluaskan empayar sektor pertanian negara. Sehubungan itu, bagi merancakkan arena negara – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kini membuka permohonan geran Agropreneur Muda, dengan peruntukan RM15 juta.

Menurut Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid setakat ini, data menunjukkan hanya 15% daripada 14.6 juta belia negara kini telah berkecimpung dalam sektor pertanian.

Sementara itu, hanya 4% pelajar di universiti pula diperlihatkan pada kajian, mempertimbangkan kerjaya mereka dalam bidang pertanian.

Maka, lanjutan agihan geran Agropreneur Muda ini mampu meningkatkan lagi penyertaan golongan muda dengan sasaran seramai 750 peserta. Untuk makluman, sejak 2016 geran ini telah memberi manfaat kepada 7,406 usahawan pertanian dengan jumlah peruntukan RM131.8 juta.

Adanya usaha ini, ia akan membantu golongan muda memulakan projek pertanian dan dijangka dapat menyumbang RM29.8 juta kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Lebih menarik ia juga dapat membuka peluang kepada belia untuk meneroka penerapan teknologi sektor, pemahaman pengeluaran dan permintaan pasaran.

Untuk memohon dan mengetahui kelayakan lanjut, boleh melayari pada pautan MAFI – Program Agroprenuer Muda 2021.

Program Agropreneur Muda diwujudkan di bawah perlaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Program ini merupakan satu inisiatif Kementerian terhadap golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun.

Tujuan utama program ini diwujudkan adalah bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang sektor;

  • Tanaman
  • Perikanan
  • Ternakan
  • Industri Asas Tani
  • Pemasaran
  • Perkhidmatan dan Input Sokongan Pertanian
  • Agropelancongan
  • Agroteknologi