Seramai 63,800 individu di Malaysia, kini ditakrifkan sebagai penganggur aktif yang telah menganggur lebih dari setahun.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Sorotan Pasaran Buruh negara bagi suku kedua ini jelas menunjukkan angka sedemikian lebih tinggi, berbanding suku kedua 2020, iaitu hampir 31,000 penganggur aktif.
Bilangan penganggur aktif secara keseluruhan pada suku kedua telah meningkat 36.6% kepada 663,400 individu. Data ini telah disokong oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), apabila menurut pengamatan mereka pada April-Jun 2021, seramai 14,300 individu dilaporkan telah kehilangan pekerjaan.
Situasi tersebut didorong ketidaktentuan ekonomi dan kesihatan semasa.
Penulis melihat peningkatan tempoh masa pengangguran tersebut didorong penawaran peluang pekerjaan berdasarkan faktor kemahiran. Mengikut tahap kemahiran, peningkatan diperhatikan bagi penduduk bekerja dalam kategori pekerjaan mahir dan separuh mahir manakala kategori berkemahiran rendah mencatatkan penurunan.
Penduduk bekerja dalam kategori mahir bertambah 2.1% merekodkan 4.35 juta individu pada suku kedua 2021. Sementara itu, bilangan dalam kategori separuh mahir meningkat 2.9% kepada 9.05 juta individu. Penduduk bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah pula menurun 1.0% mencatatkan 1.81 juta individu pada suku kedua 2021.
Meskipun DOSM tidak memperincikan tahap kemahiran dan tahap pendidikan bagi hampr 64,000 individu pengangur aktif tersebut, namun kekosongan jawatan yang tersedia pada suku kedua ini dapat memperlihatkan – bidang sektor ekonomi yang masih memiliki kekosongan dan penawaran peluang pekerjaan.
Berdasarkan peratusan, sektor perbuatan memiliki kekosongan tertinggi dengan 56.2%, diikuti Pertanian 16.4%). Namun kedua sektor tersebut menunjukkan penawaran jawatan yang sederhana berbanding sektor lain, di mana pembuatan menawarkan 1.23 juta jawatan dan pertanian 466,000 jawatan.
Sementara sektor perkhidmatan memperlihatkan penawaran dan penyertaan yang tinggi lebih 4.2 juta jawatan telah diisi, diikuti perlombongan dan pengkuarian sekitar 8,17 juta jawatan telah diisi.