Artikel

Produktiviti Pekerja Di Malaysia Naik 13.6% – Bagi Suku Kedua 2021

Sejak suku keempat 2020, Malaysia memperlihatkan penurunan aliran produktiviti yang ketara – namun prestasi itu dilihat sedikit meningkat pada suku kedua tahun ini, dengan lonjakan 13.6% bagi produktiviti per pekerja, sementara kadar tahun-ke-tahun masih menurun.

Nilai tambah bagi setiap pekerjaan pada suku kedua ini adalah RM22,117 setiap pekerja

Data perkongsian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu memaparkan kenaikan, susulan nilai asas yang lebih rendah dicatatkan pada tahun 2020, iaitu -16.1% (RM19,467). Selain itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia melonjak 16.1% tahun-ke-tahun daripada -0.5% pada suku pertama 2021 manakala jumlah pekerja 15.2 juta orang, meningkat 2.2% berbanding -0.04%s pada suku pertama 2021.

Menurut Ketua Perangkawan DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berdasarkan prestasi jam bekerja, suku kedua memperlihatkan jumlah jam bekerja negara meningkat 33.2%. Ini merekodkan 8.3 bilion jam bekerja untuk suku tersebut.

Menerusi ukuran nilai ditambah per jam bekerja ini, ia mendorong penurunan produktiviti kepada -12.8% dengan nilai RM41 per jam. Ini kerana peningkatan jumlah jam berkerja yang lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan nilai ditambah berlaku.

Untuk makluman, jumlah jam bekerja pada suku kedua 2021 ini adalah rekod kedua terendah selepas suku kedua 2020 sekitar 6.2 bilion jam bekerja. Rekod itu susulan pelaksanaan sekatan, telah mengehadkan operasi sektor ekonomi negara.