Artikel

BNM Menurunkan Sasaran KDNK 2021 Malaysia – Pada Kitaran Sehingga 4%

Peningkatan kes harian COVID-19 Malaysia yang begitu ketara sejak April lalu – telah menyebabkan semakan ke atas jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, perlu diturunkan.

Jika pada Jun lalu, Bank Dunia telah memaklumkan unjuran KDNK Malaysia tahun 2021 kini adalah 4.5%, tidak lagi 6% seperti yang disasarkan – tindakan semakan penurunan turut dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), makluman ini dikongsikan pada sidang maya prestasi KDNK Suku Kedua Malaysia 2021 hari ini (13 Ogos).

Semakan semula BNM, menunjukkan unjuran pertumbuhan KDNK 2021 menurun antara 3.0% sehingga 4.0% bagi keseluruhan tahun ini.

Seperti yang kita ketahui, BNM sebelum ini turut menyasarkan perkembangan pertumbuhan negara pada paras 6.0% sehingga 7.5%. Tindakan semakan BNM ini bertujuan selaku langkah berjaya dalam pemulihan negara.

Meskipun jangkaan pertumbuhan lebih rendah, Malaysia dijangka alami sokongan pemulihan pada akhir suku keempat kelak. Ini selari dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyasarkan pembukaan ekonomi dapat dilaksanakan.

Usaha itu akan membantu aliran pertumbuhan negara kembali rancak dan seterusnya dapat membuka keseluruhan sektor pada tahun 2022. Ia turut akan memberi kesan positif pada permintaan luar.

Untuk makluman, prestasi suku kedua Malaysia kini berkembang 16.1%. Ini didorong hasil permintaan dalam negeri yang baik dan prestasi eksport negara.

Meskipun penambahbaikan dipaparkan namun langkah sekatan kekal memberi kesan pada pertumbuhan. Antara sektor yang memaparkan peningkatan adalah perkilangan – memaparkan pemacuan pertumbuhaan dari perbelanjaan sektor swasta serta aktiviti perdagangan yang kukuh.