Artikel

ShopeeFood Disasar Sertai Pasaran Malaysia, Mulai September – Beri Saingan Pada GrabFood, Foodpanda

Perkhidmatan aplikasi Shopee bukan lagi suatu perkara yang asing buat pengguna tempatan. Penyertaannya pada platform e-dagang, dompet digital serta kerjasama bersama institusi kewangan lain menjadikan aplikasi mereka – suatu kemudahan akses yang baik buat pengguna.

Kini, Shopee ingin memperluaskan empayar mereka ke arah perkhidmatan tempahan makanan di Malaysia.

Akhir Jun lalu terdapat perkhabaran menyatakan, Shopee mula menyediakan penyertaan ShopeeFood di Malaysia, setelah Indonesia. Ternyata laporan tersebut kini akan menjadi kenyataan, apabila pengiklanan Shopee memberi gambaran awal, perkhidmatan tersebut akan dilaksanakan pada September ini.

 

Berdasarkan gambaran awal yang diberi, fasa permulaan ini akan memperlihatkan khidmat tersebut di Lembah Klang sahaja. Berdasarkan makluman, perkhidmatan ShopeeFood memiliki persamaan seperti pemain arena lain dalam menawarkan pelbagai diskaun, penghantaran percuma serta pengagihan komisen kepada rakan penghantar.

Menerusi penglibatan ShopeeFood ini – penulis kira ia akan merancakkan lagi arena perkhidmatan tempahan makanan bersama pesaing peneraju seperti GrabFood, Foodpanda, AirAsia Food, Pop Meals dan pemain lain.