Artikel

Kadar Kelahiran Di Malaysia Menurun 4.4%, Sementara Kematian Meningkat 10.1% – Bagi Suku Kedua 2021

Selain negara Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) – Malaysia juga turut mengalami penurunan jumlah kelahiran bagi data suku kedua tahun ini, 2021.

Data perkongsian Demografi Statistik Malaysia yang dilakukan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir hari ini (11 Ogos) jelas menunjukkan, penurunan kelahiran negara mencatatkan penyusutan 4.4%.

Sementara kadar kematian pula meningkat 10.1%.

Berdasarkan perkongsian demografi laman rasmi Twitternya, sekitar 111,573 kelahiran telah dicatatkan suku kedua. Ia merangkumi kelahiran bayi perempuan 55,881 dan bayi lelaki 55,692.

Jumlah kematian pula merekodkan 44,307 individu, merangkumi individu lelaki 25,216 dan wanita 19,091. Jumlah tersebut lebih tinggi berbanding tempoh suku kedua 2020 yang mencatatkan 40,241 kematian.

Selain itu, sekitar 3,898 kematian daripada jumlah yang dipaparkan adalah disebabkan oleh pandemik COVID-19. Data turu menunjukkan kumpulan usia yang memiliki kadar tertinggi disebabkan COVID-19 adalah terdiri daripada kumpulan 65 tahun sehingga 69 tahun, diikuti kumpulan umur 70 tahun hingga 74 tahun.

Sementara mengikut pemerhatian negeri pula – Selangor tampil negeri tertinggi merekodkan kadar kelahiran hidup iaitu 20,239 bayi (18.3%) dan tertinggi merekodkan kadar kematian sekitar 1,236 individu.

Meskipun negara mengalami kesukaran ketika pandemik, namun DOSM melihat kesan pandamik tidak menjejaskan jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia. Secara puratanya kelahiran bayi di negara boleh hidup mencecah usia 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding jangka hayat pada tahun 2011 iaitu 74.3 tahun. Bagi populasi secara menyeluruh pula, Malaysia kini memiliki 32.66 juta penduduk negara – telah meningkat 0.2% berbanding jangkaan populasi suku sebelumnya sekitar 32.58 juta penduduk.