Artikel

PTPTN Sedia Kemudahan Urusan Kepada Pengguna – Melalui e-JanjiTemu

Seiring dengan situasi semasa, penerapan teknologi nyata memberi kemudahan kepada semua pihak. Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) sejak Julai lalu, telah tampil dengan khidmat melalui e-JanjiTemu kepada semua pengguna mereka.

Kemudahan perkhidmatan ini membolehkan para pengguna menempah slot urusan bersama pegawai PTPTN secara atas talian dan dapat melanjutkan perbincangan di mana-mana cawangan fizikal.

Antara urusan yang berkaitan meliputi rundingan penstrukturan pinjaman, pendaftaran calon Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), permohonan penangguhan sekiranya pelanggan masih belajar, penyerahan cek pemotongan gaji majikan atau cek bendahari (pinjaman atau simpanan), penghantaran borang SSPN dan pembatalan debit langsung.

Proses ini dapat dilakukan dengan melayari portal rasmi PTPTN dan klik pada pautan ejanjitemu.ptptn.gov.my – para pengguna boleh melengkapkan makluman janji temu, peribadi dan melakukan pengesahan.

Setelah itu, slip tempahan akan dikeluarkan untuk dimuat-turun atau dicetak bagi tindakan lanjut pada pertemuan di kaunter cawangan fizikal PTPTN.