Artikel

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia – Usul Buka Sektor Ekonomi Mengikut Kadar Vaksinasi Syarikat

Kelangsungan vaksinasi negara yang semakin baik ini, sedikit sebanyak memberi gambaran potensi kepada sektor ekonomi negara untuk beroperasi semula. Setakat 10 Ogos, sekitar 25.3 juta warga penduduk Malaysia telah menerima 1 dos dan 2 dos suntikan (9.24 juta penduduk) vaksin COVID-19.

Melihat momentum ini, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mulai mengusulkan pentadbiran negara, untuk membuka semula sektor ekonomi berasaskan kadar vaksinasi syarikat – setelah hampir 3 bulan penutupan operasi sejak 1 Jun 2021.

Sekiranya tindakan tersebut tidak terus dilaksanakan, ini akan membawa kepada kerugian yang lebih tinggi buat premis perniagaan dan ia sukar diatasi oleh pertumbuhan ekonomi bagi pemulihan jangka masa panjang.

Tan Sri Soh Thian Lai, Presiden FMM berpendapat – kebenaran pembukaan operasi ini akan membantu para majikan yang telah melaksanakan proses vaksinasi ke atas pekerja mereka. Setiap majikan ketahui, menerusi vaksinasi ia akan membantu mengurangkan risiko dan mengembalikan operasi seperti sedia kala.

FMM menegaskan usul pembukaan operasi sektor ekonomi perlu dipertimbangkan, mengikut kadar vaksinasi yang telah dilaksanakan setiap syarikat. Malah pembukaan ini perlu mengariskan tahap pematuhan SOP yang ketat, bagi memberi jaminan kepada semua pihak. Tidak hanya itu, peruntukan saringan secara berkala ke atas pekerja juga perlu diterapkan setiap premis, bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.